Isnin, 25 September 2017 | 7:47pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Sungai Soi, Kuantan, hari ini. - Foto ihsan bomba

Dua beranak maut dalam kemalangan

KUANTAN: Tiga beranak termasuk sepasang suami isteri, maut selepas kereta dinaiki mereka, bertembung lori membawa muatan tanah di Kampung Sungai Soi, di sini, petang ini.

Pemandu kereta, Tuan Mohd Zulhaizee Tuan Temeran, 38, dan ibunya Kelsom Hamat, 66, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Bapa tirinya, Awang Ariffin, 76, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini juga akibat kesan kecederaan sama.

Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu dipercayai berlaku apabila lori muatan 12 tan dipandu dari arah Sungai Soi ke Kuantan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Proton Iswara dipandu Tuan Mohd Zulhaizee.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Md Yusof Husin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.54 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian 18 minit kemudian.

"Sebaik kami tiba satu mayat dipercayai duduk di bahagian penumpang belakang sudah di bawa keluar oleh orang ramai manakala bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat Tuan Mohd Zulhaizee yang tersepit di bahagian pemandu.

"Dua lagi mangsa iaitu kakak dan bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut akan diserahkan kepada pihak polis termasuk mengesan pemandu lori yang dikatakan menghilangkan diri selepas kejadian.

Md Yusof berkata, dua mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.20 petang tadi.

Berita Harian X