Ahad, 24 September 2017 | 11:12am
ANGKATAN Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan seorang kanak-kanak apabila rumah dihuni bersama keluarganya dinaiki air. - Foto Shahrizal Md Noor

Mangsa banjir di Kedah meningkat dua kali ganda

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah sehingga pagi ini meningkat kepada 2,873 membabitkan 878 mangsa hari ini, dengan tujuh pusat pemindahan baharu dibuka di lima daerah di negeri ini.

Berdasarkan rekod, lima daerah terbabit ialah Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata mangsa banjir meningkat lebih dua kali ganda berbanding semalam yang membabitkan 1,104 penduduk.

Katanya, di daerah Kuala Muda hanya satu pusat pemindahan beroperasi berbanding tiga semalam iaitu di Dewan Kampung Sungai Pial yang menempatkan 113 mangsa daripada 26 keluarga.

"Bagi daerah Kota Setar pula, lapan masih beroperasi dengan enam pusat pemindahan baharu dibuka bermula malam tadi iaitu di Dewan Wawasan Kampung Kelompang menempatkan 30 mangsa dari lapan keluarga; Surau Assyakirin Kepala Batas (75 mangsa daripada 20 keluarga).

"Pusat pemindahan baharu di SK Alor Mengkudu menempatkan 101 mangsa daripada 23 keluarga; SK Bukit Pinang (25 mangsa daripada 14 keluarga); Dewan Taman Sri Bagan (94 mangsa daripada 22 keluarga dan SK Seri Gunung (92 mangsa daripada 31 keluarga)," katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Saifuddin berkata, enam pusat pemindahan masih beroperasi di daerah Kubang Pasu iaitu di SK Kodiang Lama, Dewan Kampung Lahar, SMK Mahawangsa, Dewan Tokong Cina, Dewan Kubur Siam dan Dewan Lubuk Batu yang menempatkan keseluruhan 1,210 mangsa membabitkan 449 keluarga.

Katanya, di Pokok Sena pula sebanyak lima PPS dibuka yang menempatkan keseluruhan 632 mangsa membabitkan 145 keluarga iaitu di SK Bukit Hijau; Madrasah Maahad Tarbiyah; Dewan Kampung Permatang Limau; Surau Kampung Menerong dan Dewan Lubuk Keriang.

"Bagaimanapun di Pendang hanya tinggal satu daripada dua PPS yang dibuka semalam iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang menempatkan 260 mangsa daripada 72 keluarga.

Tinjauan BH mendapati hujan di daerah ini sudah berhenti sejak awal pagi tadi, namun pihak berkuasa masih mengambil langkah berjaga-jaga.

Berita Harian X