Sabtu, 23 September 2017 | 11:05pm

Remaja perempuan lemas cari etok

TEMERLOH: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ketika sedang mencari etok di Sungai Semantan dekat Taman Mentakab Indah, dekat sini, pada jam 5.45 petang tadi.

Mangsa, Maizatul Aifa Samsudin dikatakan keluar bersama-sama ibu bapanya serta seorang rakan tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2.30 petang, sebelum remaja itu disedari terjatuh ke dalam sungai oleh bapanya.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Mohd Zamri Mohd Sidek, berkata mangsa ditemui jam 5.45 petang sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang.

"Sebaik menerima panggilan, seramai enam anggota termasuk empat anggota pasukan penyelamatan di air dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamat mangsa.

"Mangsa ditemukan kira-kira lima meter dari lokasi dia dipercayai jatuh selepas pencarian dilakukan selama kira-kira tiga jam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah untuk bedah siasat.

14 dibaca
Berita Harian X