Jumaat, 22 September 2017 | 10:52pm
BAS persiaran yang hanya mengalami kerosakan kecil selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Papar-Beaufort, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Sabah
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam nahas kereta dan bas persiaran di Kilometer 4, Jalan Papar-Beaufort, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Sabah

Dua maut nahas kereta bertembung bas

PAPAR: Dua wanita termasuk seorang warga tua maut selepas kenderaan dinaiki melanggar bahagian hadapan sebuah bas persiaran di Kilometer (KM) 4, Jalan Papar-Beaufort di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kereta jenis Proton Saga FL yang dalam perjalanan dari arah Beaufort ke Papar, dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan melanggar sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu ke Weston, Beaufort.

Ketua Polis Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman, berkata mangsa berumur 45 tahun yang juga pemandu kereta terbabit dilaporkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Papar.

Mangsa kedua iaitu warga tua berusia 87 tahun dilapor meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama pada jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, dua lagi mangsa masing-masing wanita berumur 31 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Papar.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas persiaran jenis Nissan GP terbabit dilanggar di bahagian hadapan kanan oleh kereta yang masuk ke laluan bertentangan.

"Pemandu bas persiaran cuba mengelak dengan rapat ke kiri bahu jalan namun kenderaan dipandu mangsa tetap melanggar bas berkenaan, menyebabkan kereta itu terbakar.

"Dengan bantuan orang awam, kebakaran kereta dipadam menggunakan alat pemadam api sementara menunggu ketibaan pihak bomba dan ambulans untuk mengeluarkan tiga lagi penumpang Proton Saga FL," katanya.

Difahamkan, bas ekspres hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan, manakala tiada kecederaan membabitkan pemandu atau penumpang.

Ladamah berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut memohon saksi kejadian tampil membantu siasatan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Papar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menghantar lapan anggota dengan sebuah jentera bagi membantu mengawal kebakaran dan mengeluarkan mangsa sebelum operasi selesai pada jam 3.54 petang.

Berita Harian X