Selasa, 19 September 2017 | 11:28am
REMAJA lelaki yang maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Menglembu Impiana Adril 2, Taman Menglembu Impiana Adril, di Ipoh, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Pelajar maut motosikal dirempuh kereta

IPOH: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Menglembu Impiana Adril 2, Taman Menglembu Impiana Adril, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.10 malam, Mohamad Izzudin Mohd Khairudin, 15, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta jenis Nissan Livina tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Menglembu Impiana Adril 16, keluar dari simpang jalan itu secara mengejut tanpa memberhentikan kenderaannya.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dirempuh dari arah kanan oleh kereta berkenaan yang berada di laluan utama Jalan Impiana Adril 2," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Hasil semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan motosikal dinaiki remaja berkenaan adalah milik bapanya.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X