Isnin, 18 September 2017 | 4:01pm
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) menunjukkan skrip yang digunakan macau scam untuk menipu dan barangan yang dirampas pada sidang media mengenai Penipuan 'Macau Scam' di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sindiket 'Macau Scam' RM2j tumpas

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan satu sindiket penipuan Macau Scam membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta, Khamis lalu.

Ia susulan penahanan seramai 29 warga China di sebuah rumah banglo di Ayer Keroh, di sini, yang disyaki dijadikan sebagai pusat panggilan telefon (calling centre) bagi kegiatan itu, yang menggunakan panggilan telefon protokol Internet (VOIP).

Ketua Polis negeri, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata serbuan pada jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri berjaya menahan 26 lelaki dan tiga wanita warga China.

"Hasil serbuan ini, polis merampas barang dipercayai bagi memperdayakan mangsa, termasuk 10 telefon bimbit, satu port TM, enam AC Adapter, 10 unit wayar sambungan, serangkai kunci dan dokumen skrip dalam bahasa Cina.

Antara barangan yang dirampas pada sidang media mengenai Penipuan 'Macau Scam' di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Polis percaya sindiket ini sudah beroperasi di Melaka selama kira-kira dua bulan bagi memperdaya mangsa di China dan Malaysia membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta," katanya pada sidang media di IPK negeri, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua JSJK negeri, Superintendan Baderul Hisham Baharudin.

Beliau berkata, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas modus operandi sindiket itu, Abd Jalil berkata, mereka memperdaya mangsa menerusi cabutan bertuah, menyamar sebagai pegawai mahkamah atau anggota polis Bukit Aman, menyamar sebagai pegawai bank atau memaklumkan mengenai penculikan ahli keluarga.

"Mangsa dipengaruhi supaya memindahkan wang ke dalam akaun diberikan pihak sindiket, sebelum mereka kemudiannya gagal dihubungi," katanya.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, jumlah kerugian akibat sindiket penipuan Macau Scam di Melaka dari Januari hingga Ogos lalu ialah RM2.1 juta, meningkat RM800,000 berbanding RM1.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 89 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu, berbanding hanya 20 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya.

Antara barangan yang dirampas pada sidang media mengenai Penipuan 'Macau Scam' di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri, Bukit Beruang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Berita Harian X