Ahad, 17 September 2017 | 10:39am
PENDUDUK Kampung Kedawang di Langkawi membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir mulai surut, hari ini. - Foto Hamzah Osman
PENDUDUK Kampung Kedawang di Langkawi membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir mulai surut, hari ini. - Foto Hamzah Osman

Banjir di Kedah makin pulih

LANGKAWI: Keadaan banjir di sembilan kampung sekitar daerah ini pulih dan semua 164 mangsa membabitkan 40 keluarga, yang ditempatkan di pusat pemindahan mula kembali ke rumah masing-masing, pagi ini.

Berikutan itu, dua pusat pemindahan terbabit iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang dan Dewan Orang Ramai Kampung Raja di Padang Matsirat, di sini, yang dibuka sejak dua hari lalu, ditutup jam 8 pagi tadi.

Pegawai Daerah Langkawi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Langkawi, Isahak Murat, berkata paras air di Sungai Padang Matsirat berada pada paras 2.9 meter, lebih rendah daripada paras bahaya ditetapkan iaitu 3.4 meter.

"Oleh itu, kami memutuskan kedua-dua pusat pemindahan ditutup mulai jam 8 pagi hari ini dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi, di sini.

Isahak berkata, bagaimanapun pihaknya bersama pasukan keselamatan masih dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana berulang.

Sementara itu, Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, mengesahkan keadaan banjir semakin pulih walaupun satu pusat pemindahan baharu dibuka di Pendang awal, pagi tadi.

"Pusat pemindahan baharu dibuka di Dewan Cenderawasih menempatkan lima sekeluarga.

Di Bandar Baharu pula, 27 keluarga membabitkan 108 mangsa masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu serta 29 keluarga dengan 89 mangsa di SK Bandar Baharu," katanya.

Berita Harian X