Rabu, 13 September 2017 | 9:47pm

Bendang hilang jadi lautan

PARIT BUNTAR: "Dulu saya ada tanah enam hektar tapi sekarang tinggal tiga hektar saja... yang lain sudah jadi laut," kata Che Tah Abdullah sambil menunjukkan tanah sawah padi miliknya yang ditenggelami air laut.

Che Tah, 67, antara pemilik tanah di Kampung Sungai Baharu di tepi pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, yang kehilangan sebahagian atau keseluruhan tanah selepas kawasan itu 'ditelan' laut akibat hakisan ombak yang kuat sejak berpuluh tahun lalu.

Sawah padi mengecil

Sambil menunjukkan slip bayaran cukai tanah yang hanya berbaki tiga hektar, warga emas itu mengakui sedih apabila kawasan sawah padi mengecil.


TANAH perkuburan di Kampung Tok Jembal terhakis akibat hakisan.

KEADAAN pantai yang makin terhakis menyebabkan penduduk kehilangan tanah milik mereka. - Foto Adi Safri

"Tak sangka boleh jadi seperti ini tapi apa nak buat kami reda sajalah," katanya ketika membawa penulis dan jurugambar meninjau kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati kawasan itu sudah dibina benteng penahan hakisan baharu yang kukuh bagi mengelak hakisan. Bahagian belakangnya ada tali air dan baki kawasan sawah padi yang masih diusahakan penduduk.

Penghuni terpaksa berpindah

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Baharu, Nordin Mat Desa, berkata kawasan yang tenggelam itu boleh dikesan menerusi struktur dua pintu air lama yang boleh dilihat ketika air laut surut.

Pintu air pertama terletak kira-kira 1.5 kilometer dari benteng yang ada sekarang dan dulunya ditumbuhi pokok api-api.


KEADAAN kawasan tanah milik penduduk yang semakin terhakis di persisiran pantai Senggarang. - Foto Adi Safri

TANAH milik penduduk yang semakin terhakis di persisiran pantai Senggarang. - Foto Adi Safri

Pintu air kedua pula terletak kira-kira 800 meter dari benteng dan di belakangnya dahulu kawasan sawah padi tetapi sudah 'ditelan' laut hinggalah ke benteng baharu yang disiapkan pembinaannya tahun lalu.

"Ia menjadi bukti kejadian itu. Sebelum kawasan ini ditenggelami air laut, ada kira-kira 10 rumah di situ, yang akhirnya semuanya berpindah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

"Dengan adanya benteng mencegah hakisan sepanjang lapan kilometer yang dibina dengan kos RM50 juta, kami berharap masalah hakisan dapat diatasi," katanya.

Berita Harian X