Selasa, 12 September 2017 | 7:58pm
MOTOSIKAL ditunggang mangsa, Noorzamzurina Ibun, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu Sinar, Kampar. - Foto Ihsan pembaca

Wanita maut motosikal rempuh lori

KAMPAR: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Batu Sinar, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada jam 12.34 tengah hari itu, Noorzamzurina Ibun, 25, yang menunggang motosikal Honda EX5, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari Tanjung Tualang menghala ke Malim Nawar, manakala mangsa mengekori di belakangnya.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan membelok ke kiri dan mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang lori.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X