Khamis, 31 Ogos 2017 | 9:52pm

Lelaki Filipina jatuh ketika berkelah

KUALA LUMPUR: Seorang pengunjung air terjun Hutan Lipur Sungai Kanching, Rawang, dekat sini cedera selepas terjatuh ketika berkelah di pusat perkelahan berkenaan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Mayagan Peter Jr, berusia 32 tahun dan berasal dari Filipina cedera pada kepala akibat terkena batu di air terjun terbabit.

Jurucakap Bomba Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 petang dan enam pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina, dihantar ke lokasi.

"Lokasi mangsa terjatuh adalah di tahap empat air terjun berkenaan iaitu kira-kira dua kilometer dari laluan kenderaan.

"Mangsa dalam keadaan lemah dan terpaksa dibawa turun menggunakan pengusung. Anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk membawa turun mangsa sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Selayang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai pekerja pembinaan pergi ke hutan lipur berkenaan untuk berkelah dengan tiga lagi rakannya sempena cuti umum Hari Kebangsaan, hari ini.

27 dibaca
MANGSA yang jatuh di air terjun Hutan Lipur Sungai Kanching, Rawang, diusung oleh anggota bomba. - Foto ihsan bomba
Berita Harian X