Jumaat, 25 Ogos 2017 | 1:12pm
DATUK Sazali Sabli (kanan) menerima memorandum lafaz ikrar daripada Naib Canselor UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin selepas Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Bangunan Canselori UMS, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Ikrar bebas rasuah bukan mainan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengesahkan empat anggota polis yang ditahan atas kes menerima rasuah daripada along di Lahad Datu, baru-baru ini, turut membaca Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sehubungan itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata pihaknya tidak mahu ikrar itu sekadar dilafaz saja tetapi tidak dihayati sepenuhnya.

"Saya perlu ingatkan, IBR bukan satu perkara mainan. Jika kita lihat dan baca di akhbar semalam, polis Lahad Datu ditangkap membabitkan kes rasuah.

"Empat polis ini adalah antara anggota PDRM di seluruh negeri ini yang sudah membaca ikrar," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Bangunan Canselori UMS, Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamarudin D Mudin.

Sazali turut mengingatkan individu yang melafaz IBR untuk menunjukkan komitmen masing-masing dalam menghindari rasuah.

"Kita tidak mahu ia dijadikan wayang atau drama saja masuk dalam media..esok lusa ditangkap kerana rasuah dan yang malu adalah pemimpin teratas agensi itu sendiri," katanya.

Berita Harian X