Rabu, 23 Ogos 2017 | 2:28pm

4 polis disyaki terima suapan RM20,000

LAHAD DATU: Seorang Inspektor polis bersama tiga lagi anggota ditahan selepas disyaki menerima suapan RM20,000 daripada seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long yang beroperasi di daerah ini.

Suspek berusia antara 29 hingga 34 tahun itu dipercayai meminta dan menerima wang berkenaan sebagai bayaran perlindungan bulanan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap ah long terbabit.

Difahamkan, suspek pertama yang berpangkat Inspektor berusia 34 tahun menerima wang berkenaan menerusi dua pembayaran, iaitu RM18,000 pada 16 Ogos lalu dan baki RM2,000, kelmarin.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata suspek ditahan dalam operasi perangkap iaitu ketika menerima RM2,000 daripada ah long terbabit.

Suspek terbabit direman tujuh hari bermula semalam manakala tiga lagi anggota polis masing-masing berpangkat Sarjan, Lans Koperal dan Koperal ditahan semalam, bagi membantu siasatan.

Ketiga-tiga anggota terbabit dipercayai terbabit dalam kes meminta dan menerima suapan RM18,000 pada 16 Ogos lalu.

Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Lahad Datu petang ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana meminta atau menerima rasuah.

Berita Harian X