Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:59pm
SUAMI Adam Fahmy Shamsudin (kiri) dan ezlynn hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes penceraian.- Foto Syarafiq Abd Samad

Kes mohon cerai: Ezlynn, suami diperintah jalani proses timbang tara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 18 September ini untuk penyanyi Ezlynn dan suaminya melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) untuk perbincangan peringkat akhir kes cerai mereka.

Hakim Syarie, Mohamad Hizwan Mohamed menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili defendan, Adam Fahmy Shamsuddin, 38, untuk mengadakan sekali lagi sesi perbincangan menerusi Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Hakam adalah proses diperuntukkan mengikut Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Menerusi proses itu, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Terdahulu, peguam syarie, Izyan Hazwani Ahmad yang mewakili Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 36, menyifatkan proses JKP adalah pengulangan perkara sama.

Beliau berhujah, proses timbang tara hakam boleh menjadi ruang terakhir untuk kedua-dua pihak berbincang.

Ezlynn yang terkenal dengan lagu 'Hi Hi Bye Bye' dan Adam Fahmy berkahwin pada 20 November 2011.

Pada 20 April lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai cara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Berita Harian X