Isnin, 21 Ogos 2017 | 4:34pm
ANGGOTA bomba bersama orang awam membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta. - Foto Ramli Ibrahim

Maut akibat kereta bertembung lori sawit

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung lori muatan sawit dekat Kilometer 70, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Arif Kamshah, 73, yang memandu sendirian kereta Honda Accord, maut di tempat kejadian, dalam nahas jam 9.35 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berasal dari Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur, dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori itu.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan jangan terburu-buru mengejar masa ke destinasi," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Zawawi Yusoff, berkata beliau bersama enam anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9.42 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba mereka dapati mangsa yang tersepit pada tempat duduk pemandu, sudah meninggal dunia.

"Kami ambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X