Ahad, 20 Ogos 2017 | 8:14pm
PASUKAN penyelamat membawa turun mayat pengurus IT, Aw Kok Cheng yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Nuang, dekat Hulu Langat.

Meninggal dunia ketika mendaki

HULU LANGAT: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Nuang, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Aw Kok Cheng, 35, yang bekerja sebagai pengurus Teknologi Maklumat dikatakan mendaki gunung itu bersama tujuh rakannya awal pagi semalam, sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada di antara Kem Pengasih dengan puncak Gunung Nuang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.35 tengah hari semalam sebelum menggerakkan 32 anggota dari Balai Bomba Kajang dengan dibantu pasukan bomba sukarela ke lokasi bagi membawa turun mangsa.

"Operasi membawa turun mangsa dimulakan pada jam 3 petang membabitkan sembilan anggota.

"Anggota berkenaan tiba di Kem Pengasih pada jam 1.29 pagi tadi dan mendapati seorang mangsa tidak sedarkan diri manakala, tujuh yang lain selamat.

"Semua mangsa dibawa turun pada jam 7 pagi tadi dan mengambil masa kira-kira lapan jam sebelum tiba di kaki gunung pada jam 3 petang tadi," katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan namun, disahkan sudah meninggal dunia.

Sehingga ini difahamkan polis klasifikasikan ke sebagai mati mengejut.

93 dibaca
Berita Harian X