Ahad, 20 Ogos 2017 | 7:07pm

Pemancing selamat

KOTA KINABALU: Selepas lebih 20 jam hanyut, bot membawa 12 pemancing yang dilaporkan mengalami kerosakan enjin malam tadi, ditemui selamat petang tadi.

Bot pancing Ocean Kamara itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang pada kedudukan 11.6 batu nautika barat daya pelantar minyak Saint Joseph, Kota Belud, tidak jauh dari lokasi ia dilaporkan mengalami kerosakan, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata semua mangsa dalam bot itu dilaporkan selamat.

"Bot itu pada mulanya berjaya dikesan oleh pesawat milik polis pada jam 4.10 petang.

"Susulan laporan itu, kapal KM Berani milik APMM bergerak ke lokasi sebelum mengesahkan penemuan bot berkenaan," katanya di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, bot itu akan ditunda balik ke Jeti APMM Kota Kinabalu di Sepanggar oleh KM Berani dan dijangka tiba kira-kira jam 2 pagi esok, bergantung kepada keadaan cuaca.

Pada jam 7.35 malam tadi, APMM menerima laporan bot membawa 12 pemancing itu mengalami kerosakan enjin berhampiran perairan pelantar minyak Saint Joseph, sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 6.50 pagi tadi.

Bot itu dilaporkan bergerak dari jeti Kampung Serusup, Tuaran pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Selain bot dan kapal milik APMM serta Pasukan Polis Marin, operasi SAR dibantu sebuah pesawat Ac Cessna Caravan CE 208 milik Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X