Ahad, 20 Ogos 2017 | 11:50am
KAWASAN terakhir bot pancing dipercayai mengalami kerosakan enjin berhampiran perairan pelantar minyak Saint Joseph, kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Mantanani, Kota Belud.

Operasi SAR kesan bot pancing hilang

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah bot pancing dinaiki 12 pemancing yang dilaporkan rosak di perairan pelantar minyak St Joseph, kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Mantanani, Kota Belud.

Bot pancing OCEAN KAMARA bernombor pendaftaran TN 755/2/F berwarna biru dan kuning itu mengalami kerosakan enjin pada kedudukan tiga batu nautika barat daya perairan berkenaan kira-kira 7.35 malam tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya mengaktifkan operasi SAR pada jam 6.50 pagi tadi dengan menghantar kapal maritim (KM) BERANI dan dibantu aset Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, operasi giat dijalankan SAR dengan cuaca cerah dengan keadaan angin bertiup pada kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam, diikuti ketinggian ombak antara  0.5 hingga satu meter.

"OCEAN CAMARA dilaporkan bergerak keluar dari jeti Kampung Serusup, Tuaran pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

"Ia dilaporkan mengalami kerosakan enjin di perairan pelantar minyak Saint Josept lewat petang semalam. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X