Jumaat, 18 Ogos 2017 | 9:41pm
JENAZAH Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, yang lemas ketika mandi bersama 36 rakannya di kawasan Air Terjun Cemerung dibawa anggota polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.- Foto Rosli Ilham
MUHAMMAD Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, lemas ketika mandi bersama 36 rakannya di kawasan Air Terjun Cemerung.- Foto Rosli Ilham

Bapa bantu pernafasan anak lemas, namun gagal

DUNGUN: Dua remaja mati lemas masing-masing di Air Terjun Chemerong, dekat sini dan di sebuah kolam digali penduduk di Kemaman hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, kegembiraan sekumpulan 36 remaja mandi di Air Terjun Chemerong, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas.

Mangsa, Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, dari FELDA Kerteh 4, Ketengah Jaya, di sini, dikatakan lemas selepas terjun ke kawasan dalam.

Rakan mangsa, Muhammad Izzat Mohd Asri, 17, berkata ketika kejadian mereka menyeberang air terjun itu untuk naik ke daratan, bagaimanapun mangsa kemudian terjun ke kawasan yang agak dalam di air terjun itu.

"Tidak lama selepas itu Muhammad Fakhrul seperti terkapai-kapai namun kami sangkakan dia bergurau. Tiga minit kemudian dia terus tenggelam menyebabkan kami terjun untuk mencarinya sementara rakan lain meminta bantuan orang ramai," katanya.

Bapa mangsa, Mat Yi Yaakob, 43, berkata sebaik menerima panggilan daripada rakan anaknya memaklumkan kejadian, beliau bergegas ke lokasi kejadian sebelum diberitahu anak kedua daripada enam beradik itu berjaya ditemui setengah jam kemudian.

"Sebaik tiba, saya sempat memberikan bantuan pernafasan kepadanya, bagaimanapun, keadaan Muhammad Fakhrul agak kritikal.

Saya kemudian segera membawanya ke Klinik Kesihatan Pasir Raja sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik," katanya.

Mat Yi berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi namun agak terkilan kerana orang ramai tidak membantu membawa anaknya ke klinik dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan di Kemaman, seorang remaja ditemui lemas selepas mandi bersama tiga rakannya di sebuah kolam yang digali penduduk untuk dijadikan tempat takungan air, pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Solahuddin Anuar, 14, dari Bandar Baharu Bukit Mentok, Chukai, ditemui di dasar kolam oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, jam 10.47 pagi.

Ketua Balai JBPM Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahaya Hanapi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 9.25 pagi sebelum sembilan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Siasatan kita mendapati kolam itu digali pekebun di situ untuk dijadikan tempat takungan bagi mendapatkan sumber air," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X