Isnin, 14 Ogos 2017 | 4:37pm
ADNAN (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto Khairull Azry Bidin

'Tokan' dadah KL ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri diberkas selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis estacy dan heroin di sekitar ibu negara.

Dalam serbuan pertama, Jumaat lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan isterinya warga Vietnam berusia 28 tahun di sebuah kondominium di Taman Maluri, Cheras, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya menemui 2,950 pil estacy dianggarkan bernilai RM147,500 mengikut harga pasaran.

"Berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan, pasangan terbabit dipercayai memasarkan dadah estacy ini ke premis hiburan di sekitar ibu negara selain pembeli perseorangan.

"Kedua-dua mereka kini ditahan reman lima hingga enam hari dan disiasat mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan," katanya dalam sidang media di sini, pagi tadi.

Adnan berkata, dalam kes berasingan, seorang suspek lelaki ditahan ketika dia membuka kereta Nissan Sylphy yang sedang dipantau polis di belakang pusat beli-belah Times Square, di sini, awal pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui satu beg hitam yang di dalamnya mengandungi 20 bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk dadah heroin seberat lebih sembilan kilogram.

"Dadah berkenaan juga untuk pasaran sekitar ibu negara dianggarkan berjumlah RM225,000 dan suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam," katanya.

Berikutan kejayaan ini, JSJN Kuala Lumpur yakin menumpaskan dua rangkaian dadah jenis estacy dan heroin.

Berita Harian X