Khamis, 10 Ogos 2017 | 9:14pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Kilometer 423 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke utara, petang tadi. Ihsan Bomba
SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 423 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke utara, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba/PDRM

Pemandu maut lori rempuh treler

HULU SELANGOR: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 423 Lebuh Raya Utara Selatan arah ke utara, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.45 petang itu, V Dewen, 49, yang tersepit di tempat duduk pemandu, maut di tempat kejadian.

Mangsa berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata ketika kejadian, Dewen yang memandu lori jenis Nissan dalam perjalanan dari arah Bukit Beruntung ke Bukit Tagar.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang sebuah treler jenis Scania di lorong paling kiri.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil ke lokasi untuk mengeluarkannya.

"Bagaimanapun anggota paramedik dari Hospital Sungai Buloh (HSB) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dan bahagian badan," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke HSB untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu treler, P Ragunathan, 42, dari Menglembu, Perak tidak cedera.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu berkejar ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.49 petang.

Pasukan bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie bersama tujuh anggota mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Berita Harian X