Khamis, 10 Ogos 2017 | 8:18pm
DARI kiri,bekas ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation (FIC), Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain.

SPRM panggil semula tiga pengurusan kanan FIC

PUTRAJAYA: Bekas ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation (FIC), Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid serta Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain, hari ini dipanggil lagi untuk beri keterangan.

Omar dan Nik Azman masing-masing tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan pada jam 10.20 pagi dan 10.50 pagi manakala Noor Ehsanuddin dilihat memasuki bangunan itu pada jam 11.15 pagi.

Nik Azman dilihat keluar dari bangunan SPRM tiga jam kemudian iaitu pada jam 2 petang, diikuti Noor Ehsanuddin pada jam 4 petang dan yang terakhir, Omar meninggalkan bangunan SPRM pada jam 6.30 petang.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini sudah memberi keterangan kepada SPRM pada Selasa lalu antara empat hingga enam jam.

Difahamkan, mereka dipanggil kembali untuk diambil keterangan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London.

Semalam, Noor Ehsanuddin bersama Pengarah Bahagian Undang-undang Felda, Helwani Lukman serta seorang peguam yang dikenali sebagai Amy Loh, hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes yang sama.

Amy Loh ialah rakan kongsi kepada seorang peguam yang ditahan reman sebelum ini kerana disyaki menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

Sebelum ini, FIC dilapor membelanjakan jutaan ringgit pada tahun 2013 hingga 2015 bagi membeli dua buah hotel empat bintang, namun ketika itu pembayaran dipercayai melebihi harga pasaran.

FIC ditubuhkan FELDA pada 2013 sebagai usaha mempelbagaikan portfolio perniagaan agensi berkenaan, khususnya dalam pelaburan hartanah, perhotelan dan hospitaliti.

Sementara itu, SPRM, dalam satu kenyataan semalam, berkata tiga individu yang dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel mewah di London oleh anak syarikat FELDA itu memberi kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat SPRM.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, kesemua yang dipanggil memberi keterangan akan dipanggil semula jika ada keperluan.

"Ketiga-tiga mereka dipanggil semula bagi membantu melengkapkan kertas siasatan dan selepas meneliti keterangan yang diberikan mereka pada Selasa lalu, ada keperluan mereka dipanggil semula untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Sejak siasatan dibuka, SPRM sudah memanggil seramai 29 individu sebagai saksi bagi membantu siasatan, lima individu ditahan termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif FIC dan mereka yang terbabit dalam pembelian hotel terbabit.

11 dibaca
Berita Harian X