Khamis, 10 Ogos 2017 | 7:21pm
MUHAMMAD Arqam Mustaqim Abdullah berusia dua tahun yang hilang dipercayai bersama ibunya yang melarikan diri dari rumah keluarga di Taman Marida, Senawang. - Foto Ihsan Pembaca
INTAN Nur Anisa Abdullah, 17 yang hilang dipercayai melarikan diri bersama anak lelaki Muhammad Arqam Mustaqim Abdullah berusia dua tahun dari rumah keluarga di Taman Marida, Senawang. - Foto Ihsan Pembaca

Ibu cari anak, cucu


INTAN Nur Anisa Abdullah, 17 bersama anak lelaki Muhammad Arqam Mustaqim Abdullah berusia dua tahun yang hilang dipercayai melarikan diri dari rumah keluarga di Taman Marida, Senawang. - Foto Ihsan Pembaca

SEREMBAN: Seorang ibu bimbang apabila anak perempuan dan cucunya yang menghidap penyakit Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase (G6PD), iaitu kekurangan sel darah merah, tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu.

Zalida Mohd Alias, 37, berkata anak sulungnya, Intan Nur Anisa Abdullah, 17, dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Marida, Senawang di sini, bersama anak tunggalnya, Muhammad Arqam Mustaqim Abdullah, 2.

Ketika itu beliau tiada di rumah kerana menghantar makanan untuk dua lagi anaknya di sekolah.

"Saya bimbangkan kesihatan dan keselamatan cucu yang memerlukan penjagaan rapi. Saya menghubungi telefon bimbit anak, tetapi tidak dijawab dan kemudian ditutup. Mereka juga tiada di tempat lain, termasuk di rumah saudara mara," katanya di sini, hari ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, jirannya mendakwa ternampak anak serta cucunya keluar rumah kira-kira jam 1.40 tengah hari Isnin lalu dengan membawa beg pakaian.

Berikutan itu, katanya laporan kehilangan dua beranak itu dibuat di Balai Polis Senawang dan Seremban 2, Selasa lalu.

"Saya percaya Intan Nur Anisa tidak puas hati apabila saya menolak hasratnya mahu bekerja.

"Saya mahu dia beri sepenuh perhatian terhadap anaknya yang memerlukan penjagaan rapi kerana menghidap G6PD sejak dilahirkan.

"Sejak mereka tiada, saya tidak dapat tidur lena kerana sentiasa memikirkan mereka. Saya berharap mereka pulang segera dalam keadaan selamat," katanya.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai dua beranak itu boleh menghubungi Zalida di 017-6221993.

Berita Harian X