Sabtu, 5 Ogos 2017 | 10:02pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat Hazron Yussof yang ditemui lemas di Sungai Cherul dekat Kampung Lubuk Batu, tengah hari tadi. - Foto Shamsudin Husin

Lelaki hilang dua hari ditemui lemas

CHUKAI: Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu, ditemui lemas di Sungai Cherul dekat Kampung Lubuk Batu, tengah hari tadi.

Mayat mangsa, Hazron Yussof, 54, ditemui beberapa pemancing, kira-kira lima meter dari tebing sungai pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata mayat mangsa dibawa keluar menggunakan sebuah bot dan kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, Siti Hawa Abd Majid, 52, berkata beliau terkejut menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman memaklumkan mengenai penemuan mayat suaminya pada jam 2.30 petang.

"Pada Jumaat lalu, suami meninggalkan rumah kami di Cheneh selepas waktu Asar tanpa memberitahu saya ke mana dia hendak pergi.

"Dia hanya berjalan kaki dan meninggalkan motosikalnya di rumah. Saya tak ambil kisah kerana kebiasannya dia ke kebun di Kampung Lubuk Batu dan bermalam di sebuah bangsal yang terletak kira-kira 500 meter dari sungai," katanya.

Berita Harian X