Sabtu, 5 Ogos 2017 | 8:42pm
ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa turun dari kawasan air terjun Jangkar di Kampung Jantan, Biawak, petang tadi.
ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa turun dari kawasan air terjun Jangkar di Kampung Jantan, Biawak, petang tadi.

Pelajar UiTM maut di air terjun

LUNDU: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di air terjun Jangkar, di Kampung Jantan, Biawak, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa, Alan Abang Udin, 21, pelajar UiTM Kampus Samarahan, mandi di tingkat satu air terjun berkenaan.

Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.44 tengah hari selepas rakan mangsa menyedari kejadian itu.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dengan bantuan dua anggota Unit Storm dan tiga Unit MUST  dikejarkan ke lokasi yang terletak 25 kilometer dari balai.

"Untuk sampai ke lokasi kejadian, anggota terpaksa mendaki ke kawasan tingkat satu air terjun itu melalui denai hutan selama dua jam," katanya.

Ling Hii berkata, setibanya di lokasi, pasukan mencari dan menyelamat menyelam di lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Mangsa ditemui di dasar air terjun itu pada jam 2.30 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis yang turut berada di lokasi.

"Pada jam 3.10 petang, mayat mangsa dibawa turun ke Pos Kawalan Balai (PKB) di Kampung Jangkar," katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa turun dari kawasan air terjun Jangkar di Kampung Jantan, Biawak, petang tadi.

Berita Harian X