Sabtu, 5 Ogos 2017 | 4:46pm
INSIDEN seorang pelajar perempuan diserang dan dipukul sekumpulan pelajar perempuan lain di kawasan padang sebuah sekolah di pekan Kunak.

Kes pukul, bukan buli

SEMPORNA: Kes seorang pelajar perempuan dibelasah 10 rakan perempuan lain di sebuah padang di Kunak minggu lalu, bukan kes buli.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, sebaliknya berkata insiden berkenaan yang dirakam sebelum video mengenainya viral di laman sosial, lebih kepada pergaduhan kalangan remaja.

Beliau berkata, setakat ini mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga belum pergi ke sekolah kerana masih trauma dengan kejadian itu.

"Pegawai jabatan (Pendidikan) telah membuat lawatan ke rumah mangsa dan memberikan motivasi dan kata-kata semangat," katanya ketika ditemui pada perhimpunan dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata semua 10 pelajar yang terbabit dalam insiden itu berasal dari sekolah berlainan dan mereka telah kembali bersekolah.

Mengenai cadangan Kementerian Pendidikan supaya kotak aduan digunakan bagi pelajar melaporkan kes buli, beliau berkata sekolah di Sabah mempunyai saluran berkenaan.

Terdahulu, dalam majlis berasingan di sini, Mahdzir melahirkan rasa kesal berhubung insiden itu dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Bila berlaku kejadian seperti ini, ia bukan saja tanggungjawab sekolah tetapi juga ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Pada 30 Julai lalu, satu klip video berdurasi satu minit 39 saat memaparkan sekumpulan pelajar perempuan menyerang dan memukul seorang pelajar perempuan lain, tersebar di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Susulan kejadian itu, polis mengambil keterangan 10 pelajar perempuan itu bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan dibelasah beramai-ramai di padang sekolah terbabit.

120 dibaca
Berita Harian X