Jumaat, 4 Ogos 2017 | 1:00pm
PEGAWAI SPRM Pulau Pinang mengiringi empat individu, dua lelaki dan dua wanita ke Mahkamah Sesyen Butterworth untuk didakwa atas tuduhan menyamar sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pembantu Am JPN serta pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN). - Foto Amir Irsyad Omar

Menyamar jadi KP JPN, 4 individu didakwa

BUTTERWORTH: Empat inidvidu, termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam bagi memperdaya seorang wanita untuk mempercepatkan proses membuat kad pengenalan baharu, empat tahun lalu.

Syed Mahmood Syed Arifin, 59; Muksin Talib, 62; Sandrawati Hamzah, 46 dan Fatimah Ishak, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Mahmood dan Muksin didakwa secara bersama menyamar sebagai Pengawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memperdaya Serwina Khalid, 39, menyerahkan wang tunai RM5,000 bagi mempercepatkan proses membuat kad pengenalan baharu Naimah Junid.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 2 Pengkalan Tambang, Permatang Pasir dekat Permatang Pauh dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 18 September 2014.

Sementara itu, mengikut pertuduhan kedua, Syed Mahmood didakwa bersama Sandrawati dan Fatimah, yang mana kedua-dua wanita itu masing-masing menyamar sebagai Ketua Pengarah JPN dan Pembantu Peribadi Ketua Pengarah JPN, memperdaya Serwina untuk menyerahkan wang tunai RM7,000 bagi mempercepatkan proses membuat kad pengenalan baharu Naimah di alamat sama, pada 1 Oktober 2014.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Amin Yakob dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Syed Mahmood diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan dua penjamin, manakala tiga yang lain masing-masing dikenakan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sitarun Nisa menetapkan 11 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X