Khamis, 3 Ogos 2017 | 10:54am
KEMALANGAN dua penunggang motosikal dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di jejambat di Kilometer 139 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Kawasan Perindustrian Perai, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

1 maut, 1 cedera dirempuh ketika berteduh

BUKIT MERTAJAM: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di jejambat di Kilometer 139 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Kawasan Perindustrian Perai, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.05 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan berhenti untuk berteduh di jejambat berkenaan berikutan hujan, sebelum sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun dipercayai terbabas dan merempuh kedua-dua mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata akibat rempuhan berkenaan, salah seorang penunggang motosikal berkenan maut, manakala seorang lagi mangsa berusia 55 tahun mengalami cedera ringan.

"Mangsa maut dikenali Abdul Fadhil Ab Razak berusia 29 tahun dari Taman Wira, Sungai Petani, Kedah.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Sementara, penunggang motosikal yang cedera itu dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pemandu kereta yang berasal dari Tasek Gelugor tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X