Isnin, 31 Julai 2017 | 1:44pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Balai Kulim, Mohd Nasri Mohd Yusof, 26, bersama anak tunggalnya, Hayfa Afrina, yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, semalam.

Budak maut, tak sedar diri di rumah pengasuh

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas dipercayai tidak sedarkan diri di rumah pengasuh di Padang Serai, Kulim, Jumaat lalu.

Bapa mangsa yang juga anggota Bomba dan Penyelamat Balai Kulim, Mohd Nasri Mohd Yusof, 26, berkata anak tunggalnya, Hayfa Afrina, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, jam 3.40 petang semalam.

Katanya, Hayfa hanya mengalami lebam di dahi selepas dimaklumkan pengasuh, yang juga jiran mereka terjatuh dari kereta mainan pada Khamis.

"Semasa pergi jemput Hayfa di rumah pengasuh, saya tengok ada kesam lebam sikit di dahi kanannya tetapi saya tidak syak apa-apa kerana dia nampak ceria.

"Sehari selepas itu, saya terima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada pengasuh pada jam 4 petang memberitahu anak saya tidak sedarkan diri.

"Saya terus pergi ke rumah pengasuh dan bawa Hayfa ke Hospital Kulim sebelum pihak hospital membuat keputusan untuk memindahkannya ke HSB," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSB, di sini, sebentar tadi.

Sehingga kini, proses bedah siasat ke atas bayi terbabit masih berjalan dan dijangka akan dikebumikan di kampung keluarganya di Arau, Perlis, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata pihaknya akan menahan pengasuh terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Buat masa sekarang, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X