Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:05pm
JETI Sea Wonder di Kampung Goebilt, Mjuara Tebas, Kuching.

Bot ditemui, kru dan pemancing selamat

KUCHING: Bot memancing 'Sea Wonder' yang gagal dikesan sejak malam tadi, ditemui pagi ini dengan semua kru dan 12 pemancing dilaporkan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, bot berkenaan ditemui pada jam 10.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) APMM.

Beliau berkata, bot berkenaan ditemui pada kedudukan 40 batu nautika utara Tanjung Sirik.

"Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dari kedudukan terakhirnya pada kedudukan 82 batu nautika timur laut Tanjung Po," katanya.

Bot berkenaan dilaporkan bergerak dari Jeti Kampung Goebilt di Muara Tebas, Kuching pada jam 1 tengah hari semalam, sebelum terputus hubungan selepas komunikasi terakhir pada jam 4 petang.

Sebaik menerima laporan daripada pemilik bot pada jam 8.15 malam tadi, APMM mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat dengan menghantar sebuah kapal.

Difahamkan, kapal APMM sedang menunda bot pemancing itu balik ke jeti Kompleks Maritim Tuan Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas, di sini.

Berita Harian X