Jumaat, 28 Julai 2017 | 10:48pm
ANGGOTA bomba membawa turun Amirul Iman Husni yang cedera di Gunung Pulai. - Foto Safuri Kamarudin

7 jam bawa mangsa turun Gunung Pulai

BALING: Lima pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) di Jitra, terkandas hampir 10 jam di Gunung Pulai, di sini, selepas seorang daripada mereka cedera akibat terjatuh.

Amirul Iman Husni, 20, dari Pulau Pinang cedera pada buku lali kaki kiri selepas tergelincir ketika menuruni gunung itu, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Mereka terkandas pada ketinggian kira-kira 400 meter dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 11.41 pagi terus menggerakkan operasi menyelamat.

Beliau berkata, usaha membawa turun mangsa memakan masa yang lama berikutan kesukaran akibat faktor geografi gunung yang curam dan berbatu, selain keadaan fizikal mangsa yang agak besar dengan berat mencecah 120 kilogram (kg).

"Usaha membawa turun mangsa mengambil masa kira-kira tujuh jam. Mangsa selamat tiba di kaki Gunung Pulai jam 10 malam dan dihantar ke Hospital Baling.

Mohd Sufian berkata, mereka yang tidak arif dengan pendakian Gunung Pulai perlu peka dan memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Difahamkan, lebih 50 anggota penyelamat terbabit dalam operasi itu.

Mereka adalah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, Team Penyelamat Kedah (SARKED), Sahabat Bomba Baling, Bomba Sukarela Gerakan Belia 4B Baling, Jawatankuasa Bencana Alam Majlis Daerah Baling dan Malim Gunung.

ANGGOTA bomba membawa turun Amirul Iman Husni yang cedera di Gunung Pulai. - Foto Safuri Kamarudin

Berita Harian X