Rabu, 26 Julai 2017 | 5:31pm
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan oleh JIM dalam serbuan Ops Mega di Bukit Prima, Segambut Dalam, minggu lalu. - Foto Aizuddin Saad

PATI Bangladesh paling ramai ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 5,065 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Ops Mega yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak 1 Julai lalu hingga jam 7 pagi tadi, selepas gagal mendaftarkan diri dalam Program E-kad.

Daripada jumlah keseluruhan itu, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,520 orang, diikuti Indonesia seramai 1,476; Myanmar (429); Vietnam (285); Thailand (206); Filipina (261) dan selebihnya dari negara-negara lain.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata kesemua mereka serta 108 majikan rakyat tempatan ditahan dalam 1,272 operasi penguatkuasan yang dijalankan di seluruh negara.

"Secara keseluruhan seramai 17,955 orang diperiksa dan hasilnya seramai 5,065 PATI dan 108 majikan dikesan terbabit dalam pelbagai kesalahan Imigresen.

"Kita juga turut memberi notis kepada 367 majikan untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi memberikan keterangan berhubung kesalahan yang dikesan," katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Beliau berkata, Imigresen sudah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pihak Kedutaan Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal bagi memperjelaskan usaha yang dilakukan menerusi tindakan ini.

"Inisiatif pertemuan ini adalah bagi membolehkan tindakan yang harus diambil oleh majikan dan pekerja selepas tamat tempoh pendaftaran E-kad, termasuk urusan pengeluaran dokumen perjalanan dan proses penggajian semula (rehiring).

"Program rehiring adalah inisiatif kerajaan kepada majikan supaya dapat menggajikan PATI yang bekerja secara haram di negara ini dengan memberikan mereka permit kerja sah untuk memenuhi sektor pekerjaan dibenarkan," katanya.

Mustafar berkata, Imigresen turut menyarankan majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka supaya menghantar pulang pekerja asing ini melalui Program Serah Diri secara Sukarela (3+1) bagi mengelak risiko dikenakan tindakan undang-undang.

Melalui program ini, PATI dapat pulang ke negara asal secara teratur dan mengikut saluran undang-undang.

Sejak 4 Januari lalu hingga kelmarin, 125,061 PATI sudah pulang ke negara asal melalui program ini.

61 dibaca
Berita Harian X