Ahad, 23 Julai 2017 | 10:25am
KEMALANGAN melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kuala Kangsar - Gerik berhampiran Kampung Selat. - Foto Dj Dolasoh

Terkini: 1 lagi maut kemalangan di Air Kala

LENGGONG: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Kampung Air Kala di sini, meninggal dunia, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata mangsa ialah Wong Mei, 56, penumpang tempat duduk hadapan Perodua Myvi.

"Mangsa yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping, " katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadikan kematian akibat nahas itu kepada empat orang, semuanya wanita yang menaiki kereta Perodua Myvi berkenaan.

Tiga yang maut di lokasi kejadian jam 4.30 petang semalam ialah mangsa yang duduk di bangku penumpang belakang iaitu Foke Yoke Wah, 25; Woke Mei Yong, 44, dan Wong Mee Lai, 47, dengan dua daripada mereka tercampak keluar dari kereta.

Pemandu, Chong Yah Wen, 23, dan Wong Mei, ketika itu parah sebelum Wong Mei disahkan meninggal dunia.

Semua mangsa menaiki kereta itu berasal dari Ipoh.

Turut parah penumpang hadapan kenderaan lain iaitu Proton Exora yang juga guru, Roslina Othman, 35.

Bagaimanapun, suami Roslina seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memandu kenderaan itu, Saiful Haslim Toat, 35, serta tiga anak lelaki mereka, Muhammad Danial Mirza Saiful berusia tujuh bulan; Muhammad Danial Farish, 5, dan Muhammad Danial Iman, 7, tidak cedera.

Pemandu dan seorang penumpang sebuah lagi kereta jenis Kia Spectra yang terbabit dalam kemalangan itu juga terselamat.

Berita Harian X