Sabtu, 22 Julai 2017 | 11:50pm

Tragedi Lenggong: 3 penumpang belakang Myvi maut

LENGGONG: Tiga yang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 56.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Kampung Air Kala, Selat Pagar, dekat sini, jam 4.30 petang tadi adalah penumpang belakang kereta Perodua Myvi.

Mangsa maut dikenali sebagai ialah Foke Yoke Wah, 25; Woke Mei Yong, 44; dan Wong Mee Lai, 47; termasuk dua daripada mereka tercampak keluar dari kereta.

Pemandu, Chong Yah Wen, 23, dan penumpang hadapan, Wong Mei, 56, pula parah. Kesemua mangsa menaiki kereta itu berasal dari Ipoh.

Turut parah penumpang hadapan kenderaan lain iaitu Proton Exora yang juga guru, Roslina Othman, 35.

Bagaimanapun, suami Roslina, seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memandu kenderaan itu, Saiful Haslim Toat, 35, serta tiga anak lelaki mereka, Muhammad Danial Mirza Saiful berusia tujuh bulan; Muhammad Danial Farish, 5; dan Muhammad Danial Iman, 7; tidak cedera.

Pemandu dan seorang penumpang sebuah lagi kereta jenis Kia Spectra yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata kemalangan tiga kenderaan itu membabitkan 12 mangsa kesemuanya.

Katanya, siasatan awal mendapati Myvi dinaiki lima wanita dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dan apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Kia Spectra dipercayai terlanggar belakang kereta Myvi terbabit hingga menyebabkan ia hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Proton Exora yang dari arah bertentangan gagal mengelak dan bertembung dengan Myvi, menyebabkan dua penumpangnya tercampak keluar dan maut di lokasi kejadian manakala pemandu serta seorang penumpang lain parah.

"Proton Exora itu dinaiki lima sekeluarga membabitkan suami isteri dan tiga anak lelaki mereka di mana penumpang hadapan iaitu isteri cedera parah, manakala dua lelaki iaitu pemandu dan seorang penumpang Kia tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap tiga mangsa yang maut dijalankan di di Hospital Gerik, jam 10 malam tadi.

Berita Harian X