Jumaat, 21 Julai 2017 | 9:38am
ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Bukit Prima Pelangi, Segambut Dalam, Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad

Sembunyi celah tayar lori


ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Bukit Prima Pelangi, Segambut Dalam, Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menyerbu sebuah penempatan haram di Bukit Prima Pelangi, Segambut Dalam, di sini dan menahan hampir 100 warga asing yang menetap di situ, pagi tadi.

Dalam serbuan menerusi Op Mega bermula kira-kira jam 3 pagi itu, antara 80 dan 100 buah rumah kongsi di situ diperiksa dengan sebahagian besar penghuninya, termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan untuk pemeriksaan.

Semua yang ditahan berusia antara tiga bulan dan lewat 50-an.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata lokasi berkenaan sudah beberapa kali diserbu sebelum ini, namun masih menjadi tumpuan warga asing terutamannya warga Indonesia berketurunan Flores.

"Operasi kali ini adalah tindakan susulan daripada aduan daripada orang ramai serta risikan Jabatan Imigresen selepas mendapati penempatan ini semakin 'berkembang'.

"Lokasi ini sudah beberapa kali diserbu dan kira-kira 100 hingga 200 warga asing yang mendiami kawasan ini ditahan sebelum ini.

"Bagaimanapun, masih ramai warga asing berani mendiami kawasan ini yang didirikan sejak empat tahun lalu, bermula sebagai kawasan pembinaan kecil," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Katanya, operasi pagi ini dijalankan secara bersepadu dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sehingga jam 6 pagi tadi, pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen bersama pasukan PGA masih mengesan saki baki warga asing di situ yang dipercayai bersembunyi di kawasan semak berhampiran.

Ketika serbuan juga, ada warga asing yang mengambil risiko cuba lari melalui lereng bukit serta bersembunyi dicelah tayar lori simen yang di parkir di situ.

Namun, mereka semua berjaya ditahan. Sehingga kini, pemeriksaan dan semakan dokumen masih dijalankan dan warga asing yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah ditahan untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X