Khamis, 20 Julai 2017 | 6:36pm
KEADAAN dua kenderaan yang remuk akibat bertembung dalam kemalangan berhampiran FELDA Jengka 17, dekat Maran. - Foto ihsan bomba

4 parah nahas 2 kereta

KUANTAN: Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  Jerantut antara empat parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran FELDA Jengka 17, dekat Maran, petang tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Pahang, Mohamed Nor Hamzah, berkata dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa Hassan Othman, 77, bersama isteri Kamsiah Bajuri, 69, menaiki kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan ke Bandar Pusat Jengka, Maran sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Difahamkan kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri berusia 30 dan 26 tahun.

Akibat kemalangan itu semua mangsa cedera parah pada kepala, badan serta tangan dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Mohamed Nor berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.57 petang dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan empat mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing.

"Anggota bomba menggunakan alatan khas seperti mesin pemotong besi bagi mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Punca kemalangan sedang disiasat polis dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 4 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X