Rabu, 19 Julai 2017 | 5:13pm
Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa (tengah). - Foto Saddam Yusoff

Laporan siasatan kes Sivarasa sudah siap

SHAH ALAM: Laporan siasatan kes salahguna ruang masjid oleh Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa Mei lalu sudah lengkap dan akan diserahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selewat-lewatnya minggu ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, laporan siasatan kini dalam semakan akhir dan beliau sendiri akan menghantar laporan berkenaan kepada Sultan Selangor.

"Laporan berkenaan mengandungi maklumat siasatan daripada lapan saksi yang kita panggil termasuk nazir, penganjur program, juruacara, Sivarasa dan qariah masjid berkenaan.

"JAIS juga menyertakan cadangan tindakan yang boleh dikenakan terhadap nazir masjid berkenaan iaitu tindakan amaran, pembatalan pelantikan atau apa-apa perintah lain yang sesuai, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JAIS di sini, hari ini.

Haris berkata, JAIS sebelum ini sudah mengeluarkan garis panduan secara jelas mengenai kegunaan masjid terutamanya ruang solat.

"Larangan di ruang solat memang sudah jelas manakala kawasan masjid pula dibenarkan untuk penganjuran majlis sumbangan dan sebagainya tetapi program berkaitan politik dilarang sama sekali," katanya.

Haris berkata, tindakan selanjutnya yang akan dikenakan terhadap nazir terbabit juga akan diketahui dalam minggu ini.

Pada 24 Mei lalu, ahli parlimen Subang itu mencetuskan kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana berucap di ruang solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang ketika hadir pada satu program penyerahan sumbangan.

Berita Harian X