Selasa, 18 Julai 2017 | 2:57pm
MAHKAMAH Majistret menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). - Foto BERNAMA

Sebutan kes 19 penuntut UPNM 14 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut, Mei lalu.

Tarikh itu ditetapkan Majistret Siti Radziah Kamarudin selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi bagi menunggu laporan perubatan Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21.

Tertuduh adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, Abdoul Hakeem Mohd Ali, Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri dan Muhammad Sufi Mohd Mustapha.

Selain itu, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa, semuanya berusia 21 tahun.

Pada 14 Jun lalu, mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, dengan tujuan memeras daripada mangsa bagi maksud mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi, di sini, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Datuk Sri M Ramachelvam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datin Hazizah Kassim, Ariff Amirul Abdul Jani, A G Kalidas, Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay bertindak sebagai peguam bela semua tertuduh.

Bagi 13 tertuduh, mereka dilepaskan dengan jaminan RM7,000 oleh mahkamah.

Sementara itu, lima tertuduh, Muhammad Akmal, Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bersama-sama membunuh Zulfarhan.

Abdoul Hakeem pula didakwa bersubahat dengan kelima-lima tertuduh untuk melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 22 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Berita Harian X