Ahad, 16 Julai 2017 | 10:51pm

2 maut, kereta bertembung di Batu Danau


KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Batu Danau, Limbang yang menyebabkan dua maut. - Fotoihsan bomba.

LIMBANG: Seorang lelaki warga emas dan seorang budak lelaki maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung di Kampung Bidang, Batu Danau, di sini, petang tadi.

Kejadian pada jam 6.30 petang itu membabitkan sebuah kereta KIA Sportage yang dipandu lelaki warga Brunei dan kereta Suzuki Swift yang dipandu lelaki warga emas.

Berikutan kejadian itu, penumpang kereta KIA Sportage, Abdul Malik Abdul Rahim, 8, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala Duncan Taboh, 66, yang memandu Suzuki Swift bersendirian meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu KIA Sportage, Shahmirza Muhamad, serta lima penumpangnya, Abdul Rahim Rambli, 44; Farah Fauzana Abdul Rahim, 10;  Siti Nursuhada Abdul Rahim, 5; Roipah@Rokiah Tamit, 56 dan Lura Tahir, 39, pula cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.35 petang.

Sebuah jentera dan sebuah kenderaan EMRS dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 36 kilometer dari balai.

"Setibanya di lokasi pada jam 7.09 malam, didapati seorang lelaki tua tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta jenis Suzuki Swift dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Anggota kami menggunakan alat penyelamat untuk mengeluarkan mayat mangsa manakala kanak-kanak yang parah dikeluarkan oleh orang awam, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Limbang," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera termasuk seorang parah, kini dirawat di Hospital Limbang.

19 dibaca
Berita Harian X