Sabtu, 15 Julai 2017 | 9:44pm
LOKASI kawasan Air Terjun Jeram Penitih Seri Bandi tempat mangsa, Ahmad Amirul Ahmad Rahimi ditemui lemas.

Perkelahan berakhir tragedi


MAYAT mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

CHUKAI: Perkelahan 11 remaja ke kawasan Air Terjun Jeram Penitih Seri Bandi dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang daripadanya lemas di kawasan air terjun itu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Ahmad Amirul Ahmad Rahimi, 17, dari Seri Bandi, terjun ke dalam lubuk dan tidak muncul.

Rakannya, Saiful Arif Afzan Yaakub, 17, mula mengesyaki sesuatu selepas mangsa tidak timbul 10 minit selepas itu.

Saiful kemudian memaklumkannya kepada rakan yang lain dan mereka berusaha menyelam dan mencarinya.

"Tidak sampai 10 minit kami menyelam mencarinya, saya ternampak dia (Ahmad Amirul) dalam keadaan meniarap dengan kepalanya melekat dalam celah lubang di dasar sungai.


AHMAD Amirul Ahmad Rahimi.

"Kami menariknya dan membawa naik ke darat dengan bantuan beberapa orang kampung yang berada bersama kami dan membawanya ke Klinik Seri Bandi yang terletak kira-kira 9 kilometer," katanya ketika ditemui di Klinik Seri Bandi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik berkenaan yang memeriksanya, sebelum jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Saiful Arif berkata, mereka pergi ke kawasan perkelahan itu sejak tengah hari untuk berkelah dan bermandi-manda di kawasan air terjun.

25 dibaca
Berita Harian X