Sabtu, 15 Julai 2017 | 2:27pm

Polis rampas dadah RM6.2 juta, senjata


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff ( tiga dari kanan ) bersama pegawainya melihat barang barang memproses dadah yang di rampas dalam lima serbuan termasuk sebuah rumah dijadikan makmal dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor (IPK) di Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Polis menahan 12 orang termasuk seorang pakar kimia warga tempatan dan merampas pelbagai dadah bernilai RM6.2 juta serta pistol dan bom tangan dalam lima serbuan di bandar raya ini, Isnin lalu.

Dalam serbuan hampir dua jam bermula 6.15 petang itu, polis turut melumpuhkan kegiatan memproses syabu di sebuah rumah di Bandar Dato Onn, di sini yang dijadikan sebagai makmal dadah.

Empat pistol, 140 peluru dan bom tangan turut dirampas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisian Narkotik (STING) itu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata mereka yang ditahan membabitkan tujuh lelaki termasuk seorang warga Singapura dan Vietnam dan lima wanita.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tengah) bersama pegawainya menunjukka pistol serta wang tunai dan peluru serta barang barang yang di rampas dalam lima serbuan termasuk sebuah rumah dijadikan makmal dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor (IPK) di Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed

Katanya, suspek lelaki berusia antara 29 hingga 58 tahun manakala suspek wanita berusia 21 hingga 45 tahun membabitkan warga China dan Vietnam.

"Hasil risikan dijalankan JSJN dan STING, serbuan dijalankan di Bandar Dato Onn, Perling dan Larkin, di sini pada Isnin lalu dan berjaya melumpuhkan sindiket memproses serta pengedaran dadah.

"Dalam serbuan ini, polis turut merampas pelbagai mata wang bernilai RM57,000, tujuh kenderaan pelbagai jenama, barang kemas serta pelbagai bahan kimia bersama peralatan memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mokhtar berkata, siasatan polis juga tidak menolak kemungkinan pakar kimia itu mempelajari cara memproses dadah menerusi internet dan bekalan bahan terlarang itu juga dipercayai untuk dihantar ke pasaran Singapura dan Indonesia.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

"Selain itu, kes ini juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana membabitkan suspek warga asing," katanya.

26 dibaca
JOHOR BAHRU 15 JULY 2017 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dua dari kanan) bersama pegawainya melihat barang barang memproses dadah yang di rampas dalam lima serbuan termasuk sebuah rumah dijadikan makmal dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor (IPK) di Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X